HARON
BIN SAMSUDDIN
SX122690GUF04
Anak Kecil Main Api (Lagu Warisan)
Lagu ini mengimbau
kembali nostalgia semasa saya menghadiri kursus Biro
Tata Negara (BTN) dan
merupakan lagu wajib setiap kali perhimpunan. Saya telah menghadiri kursus Biro
Tata Negara (BTN) sebanyak dua (2) kali, kursus wajib bagi seorang kakitangan
awam (suatu ketika dulu) dan kursus jemputan yang dianjurkan oleh UMNO. Kursus yang mempunyai matlamat sama tetapi cara dan penyampaiannya
berbeza. Matlamat utamanya ialah menaikkan semangat anak-anak Melayu untuk mencintai tanahair. Lagu Warisan: Anak
Kecil Main Api merupakan lirik dan lagu ciptaan bekas Ketua Pengarah Biro
Tatanegara Tan Sri Nordin bin Kadri ini memang menangkap jiwa sanubari anak watan
yang cintakan agama, bangsa dan tanahairnya. Pernah dinyanyikan oleh adik Ariff
Yasir bin Zulkafli (23), pelajar tajaan Kerajaan di Universiti Gunma, Jepun dan
telah menyentuh sanubari perwakilan dan pemerhati semasa persidangan UMNO, kepada saya ianya menandakan suatu signal yang penting kepada parti itu
yang memerlukan perubahan drastik.
Dalam menterjemahkan Lagu Warisan: Anak Kecil Main Api, rangkap 1 dapat kita jelaskan bahawa bagaimana
bangsa Melayu terasa hati dan rasa terpinggir di tanahairnya sendiri.
Pengolahan pembayang yang begitu halus dan indah, menerangkan makna sebenar
pada penghujung ayat rangkap 1 iaitu, “Bumi
dipijak milik orang”. Ianya seolah-olah memberi gambaran tanahair ini
rupa-rupanya dimiliki (diambil) oleh entiti lain.
Kerangkusan dan kesilapan bangsa Melayu dalam mengurus
kekayaan hasil bumi boleh menghancurkan tanahair sendiri dan perlulah menjadi
iktibar bagi generasi masakini dan mendatang. Penjelasan ini boleh dilihat pada
rangkap 2, dan disusuli dengan jelas ungkapan “Hasil mengalir ke tangan yang lain” dalam rangkap 3 dan
dengan kata mudah difahami kekayaan khazanah bangsa Melayu kononnya dimonopoli
entiti (kaum) lain dan bangsa Melayu mengigit jari.
Dalam menangani
sesebuah negara yang merdeka, kepakaran dan cendikiawan seseorang amat
diperlukan. Ianya tidak bergantung kepada populariti. Sekiranya kita masih
tidak menyedari hakikat ini, maka agama, bangsa dan tanahairnya akan hanyut
ditelan zaman. Ianya jelas diungkapkan pada rangkap 4 dan 5. Seterusnya rangkap
akhir Lagu Warisan: Anak Kecil Main Api mengingatkan kita, untuk memastikan
negara maju dan bangsa bertamadun maka setiap bangsa janganlah terlalai dan
perlu memahami peranan dan tanggungjawab yang dimainkan supaya “Melayu akan gagah di nusantara”.
Lagu ini digubah
dengan begitu halus dan puitis yang mempunyai makna tersurat dan tersirat. Merupakan sebuah lagu evergreen dalam kategorinya
yang tersendiri, ianya sering disalah tafsirkan oleh sekumpulan lain. Pada
pendapat saya lagu ini perlu ditafsirkan mengikut hati naluri pendengar.
Sesetengah pihak lagu ini boleh dijadikan sebagai pembakar semangat. Susunan liriknya memang memerlukan tafsiran yang cukup
teliti. Saya yakin jika ditanyakan pengarangnya sekalipun, tidak banyak boleh
diketahui, melainkan akan dimaklumkan bahawa hak mentafsir terletak kepada
pendengar lagu, bukan pencipta atau penulis liriknya. Kesimpulannya, Lagu Warisan: Anak Kecil
Main Api mempunyai hikmah dan berhantu ketika dinyanyikan. Setiap
orang mempunyai pendirian dan pendapat pada lagu ini.
Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman
Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Peribumi merintih sendiri
Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang
Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri
Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di nusantara (3X)
No comments:
Post a Comment