Tuesday 22 July 2014

Anak Kecil Main Api (Lagu Warisan)

HARON BIN SAMSUDDIN

SX122690GUF04

Anak Kecil Main Api (Lagu Warisan)
Lagu ini mengimbau kembali nostalgia semasa saya menghadiri kursus Biro Tata Negara (BTN) dan merupakan lagu wajib setiap kali perhimpunan. Saya telah menghadiri kursus Biro Tata Negara (BTN) sebanyak dua (2) kali, kursus wajib bagi seorang kakitangan awam (suatu ketika dulu) dan kursus jemputan yang dianjurkan oleh UMNO. Kursus yang mempunyai matlamat sama tetapi cara dan penyampaiannya berbeza. Matlamat utamanya ialah menaikkan semangat anak-anak Melayu untuk mencintai tanahair. Lagu Warisan: Anak Kecil Main Api merupakan lirik dan lagu ciptaan bekas Ketua Pengarah Biro Tatanegara Tan Sri Nordin bin Kadri ini memang menangkap jiwa sanubari anak watan yang cintakan agama, bangsa dan tanahairnya. Pernah dinyanyikan oleh adik Ariff Yasir bin Zulkafli (23), pelajar tajaan Kerajaan di Universiti Gunma, Jepun dan telah menyentuh sanubari perwakilan dan pemerhati semasa persidangan UMNO, kepada saya ianya menandakan suatu signal yang penting kepada parti itu yang memerlukan perubahan drastik.

Dalam menterjemahkan Lagu Warisan: Anak Kecil Main Api, rangkap 1 dapat kita jelaskan bahawa bagaimana bangsa Melayu terasa hati dan rasa terpinggir di tanahairnya sendiri. Pengolahan pembayang yang begitu halus dan indah, menerangkan makna sebenar pada penghujung ayat rangkap 1 iaitu, “Bumi dipijak milik orang”. Ianya seolah-olah memberi gambaran tanahair ini rupa-rupanya dimiliki (diambil) oleh entiti lain.

Kerangkusan dan kesilapan bangsa Melayu dalam mengurus kekayaan hasil bumi boleh menghancurkan tanahair sendiri dan perlulah menjadi iktibar bagi generasi masakini dan mendatang. Penjelasan ini boleh dilihat pada rangkap 2, dan disusuli dengan jelas ungkapan “Hasil mengalir ke tangan yang lain” dalam rangkap 3 dan dengan kata mudah difahami kekayaan khazanah bangsa Melayu kononnya dimonopoli entiti (kaum) lain dan bangsa Melayu mengigit jari.

Dalam menangani sesebuah negara yang merdeka, kepakaran dan cendikiawan seseorang amat diperlukan. Ianya tidak bergantung kepada populariti. Sekiranya kita masih tidak menyedari hakikat ini, maka agama, bangsa dan tanahairnya akan hanyut ditelan zaman. Ianya jelas diungkapkan pada rangkap 4 dan 5. Seterusnya rangkap akhir Lagu Warisan: Anak Kecil Main Api mengingatkan kita, untuk memastikan negara maju dan bangsa bertamadun maka setiap bangsa janganlah terlalai dan perlu memahami peranan dan tanggungjawab yang dimainkan supaya “Melayu akan gagah di nusantara”.

Lagu ini digubah dengan begitu halus dan puitis yang mempunyai makna tersurat dan tersirat. Merupakan sebuah lagu evergreen dalam kategorinya yang tersendiri, ianya sering disalah tafsirkan oleh sekumpulan lain. Pada pendapat saya lagu ini perlu ditafsirkan mengikut hati naluri pendengar. Sesetengah pihak lagu ini boleh dijadikan sebagai pembakar semangat. Susunan liriknya memang memerlukan tafsiran yang cukup teliti. Saya yakin jika ditanyakan pengarangnya sekalipun, tidak banyak boleh diketahui, melainkan akan dimaklumkan bahawa hak mentafsir terletak kepada pendengar lagu, bukan pencipta atau penulis liriknya. Kesimpulannya, Lagu Warisan: Anak Kecil Main Api mempunyai hikmah dan berhantu ketika dinyanyikan. Setiap orang mempunyai pendirian dan pendapat pada lagu ini.

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Peribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di nusantara (3X)

No comments:

Post a Comment